Pages

Thursday, October 2, 2014

SURAT BUAT ADIK PEREMPUANKU



DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG


Adik, abang tau adik kadang-kadang merajuk dengan ayah, merajuk dengan ibu sebab adik tak dapat apa yang adik nak. Abang faham dik, sebab kadang-kadang pun, ada jugak perkara yang abang inginkan berlaku tetapi tidak berlaku. Cuma, abang nak adik faham perasaan ayah dan ibu. Adik sebagai seorang wanita, insha Allah satu hari nanti akan jadi seorang ibu. Cuba adik lihat sekelilling adik. Ibu dan ayah yang ada anak kecil, mereka akan menjaga anak mereka sebaik mungkin menurut kemampuan mereka. Kadang-kadang mereka sanggup mengenepikan kesenangan mereka untuk memberikan kepada anak mereka, rasa senang. Kalau anak mereka menangis kerana lapar, mereka akan berikan susu. Kalau anak menangis kerana kurang sihat, akan dihantar ke klinik untuk memastikan anak mereka kembali sihat. Senyum, gembira  dan sihatmu adik, lebih mereka sukai dari tangisan kesedihan dan rajukmu. Kerana itu, abang berpesan, taatilah Ibu dan ayah selagimana tidak bersalahan dengan agama, dengan Hukum Allah. 


Setiap apa yang berlaku pada kita dik, Insha Allah ada kebaikan di sebaliknya. Adik pernah dengar tak satu cerita. Ada seorang ayah telah memberikan kepada seorang anak lelakinya kuda untuk dia belajar menunggang kuda. Maka apabila telah dihantar untuk belajar menunggang, anak itu tadi dengan cepatnya telah menjadi mahir dalam menunggang kuda. Maka berkatalah orang kepada si ayah tadi, sungguh beruntung kerana anaknya sungguh cepat mahirnya dalam menunggang kuda. Maka si ayah berkata, aku bersyukur dengan apa yang ada dan berlindung dari keburukan yang datang darinya. Setelah itu, hampir setiap hari, si anak akan menunggang kudanya. Maka pada satu ketika, anaknya telah terjatuh dari kudanya dan menyebabkan kakinya patah dan terpaksa berehat buat sementara bagi memastikan kakinya lekas sembuh. Maka berkata orang kepada si ayah, sungguh malang nasib anakmu, kesian dia. Maka si ayah berkata, aku menerima seadanya keadaan anakku, jangan kamu risau itu. Tidak berapa lama kemudian, datang utusan raja negeri itu memanggil semua anak lelaki yang dalam keadaan sihat, untuk keluar mempertahankan negara dari serangan negara luar. Oleh kerana anak tadi patah kakinya, maka tertinggallah dia dari mengikuti rombongan pemuda lainnya. Gembira sungguh rasa hati si ayah, kerana anaknya walaupun patah kakinya tetapi masih dapat dekat dengannya. Berbanding ibu dan ayah yang lain, bersedih kerana anak tiada di sisi. Jadi dik, setiap yang berlaku, insha Allah ada hikmah di sebaliknya. Tiada ibu dan ayah inginkan yang buruk berlaku pada anaknya. 

Insha Allah, abang akan sokong kalau adik nak nikah awal kerana perkara yang baik, elok disegerakan. Abang pun dah cadangkan pada ibu, nikahkan je adik. Cuma, pasangan adik perlulah berjumpa ayah dulu. Berbincang tentang urusan adik dengan ayah, sebab ayah adalah wali adik yang utama. Apa halatuju hidup dia, apa rancangan dia tentang adik. Ibu dan ayah risaukan adik. Senangkanlah hati mereka dik, moga redha Allah lebih dekat dengan kita. Moga dipermudahkan segala urusan kita di dunia dan di akhirat dengan kebaikan. Abang sentiasa akan jadi penyokong kuat adik.

Yang Benar,

Abangmu ... 


No comments:

Post a Comment

BAHASA MELAMBANGKAN PERIBADI