Pages

Friday, September 26, 2014

MEMAHAMI ILMU

Ingat tak dulu, kita pernah belajar untuk peperiksaan. Pening kepala untuk memahami semua baris ayat dan perkataan yang ada dalam buku rujukan, buku teks dan soalan latihan. Adakah pada saat ini, kita masih dapat menjawab persoalan berkaitan topik berkenaan dengan baik. Tanyalah hati, tanyalah diri. Pernah juga tinggalkan dahulu beberapa topik susah untuk diulangkaji dengan mengulangkaji dahulu topik yang lebih senang sebelum mengulangkaji topik susah tadi di akhirnya. Ia berlaku sebab lumrahnya kita begitu, menyukai yang mudah sebelum yang susah.

Apabila direnung kembali, pada 1 sisi, seolah-olah kita telah melakukan tindakan yang wajar. Ia wajar kerana lumrah manusia biasanya begitu. Bukannya kita tidak akan mengulangkaji topik susah itu, cuma dilambatkan waktu mengulangnya kerana mahu mendahulukan topik yang lebih mudah. Tetapi manusia yang cerdas mindanya, rajin usahanya akan mencuba untuk memahami setiap bait kata yang tertulis, setiap penerangan dan cara berfikir penulis. Ini kerana, untuk memahami sebuah kitab atau buku, kita perlu memahaminya dari kulit ke kulit, dari helaian depan ke helaian belakang, dari perkataan yang pertama hingga ke perkataan yang terakhir. Yang paling penting, memahami cara berfikir penulis dan apa yang cuba disampaikan.

Apakah caranya untuk mengukur tahap kecerdasan dan tahap kerajinan kita? Cara mudahnya adalah dengan melihat markah yang kita peroleh untuk peperiksaan topik berkenaan. Jika 80 peratus markahnya, maka secara amnya ilmu kita hanya mencakup 80 peratus sahaja daripada keseluruhan ilmu/buku/kitab itu. Jika 70 peratus, maka ilmu yang kita peroleh hanya 70 peratus sahaja. Tanda ilmu itu terkesan dalam hati adalah apabila kita tidak perlu melihat buku itu untuk menerangkannya semula kepada orang lain. Sebagai contoh, seseorang yang betul-betul memahami sesuatu buku, dia akan dapat menerangkan buku itu dengan baik walaupun buku itu tidak berada di depan matanya. Jika tidak mencapai tahap penguasaan sesuatu ilmu dengan baik, periksa jadual harian kita, adakah terdapat antara rutin harian kita yang menyumbang kepada lemahnya penguasaan ilmu. Perbaiki dan perkemaskan rutin & amalan harian kita.

Cara apa lagi boleh mengukur tahap penguasaan ilmu atau tahap pengalaman kita? Boleh jadi dengan mengetahui semua istilah-istilah yang berkaitan. Bertanya kepada yang lebih berpengalaman atau yang lebih ilmunya dari kita, tanya pendapatnya dalam sesuatu perkara. Kemudian dengar pandangan beliau, adakah sama dengan pendapat yang akan kita keluarkan jika kita juga ditanya soalan yang sama. Kemudian saling berbincang tentang berbagai persoalan dengan ilmuan itu, jika kita dapat mengeluarkan pendapat yang bertepatan dengan konteks jawapan ilmuwan itu, barangkali, ilmu kita tidak jauh dari pengalamannya. Tetapi jangan pernah berasa cukup dengan ilmu. Sekali kita merasa cukup dengan ilmu, ilmu akan jauh dari kita. Dampingkan diri dengan ilmu sehingga ilmu yang kita ada dapat memberi manfaat pada manusia, sehingga ilmu itu kekal dalam hati.

Sungguh banyak silap kita dahulu, sehingga ilmu yang dipelajari hanya ada pada buku, pada tulisan, tidak pada hati, pada pemahaman dan pada akhlak kita. Sungguh jauh beza kita dengan ulama dahulu. Ulama dahulu, semakin bertambah ilmunya, semakin dia berasa kurang ilmunya, semakin dia dahagakan ilmu, sehingga tiada ego dalam belajar. Seorang imam mazhab, masih menghadiri majlis ilmu imam mazhab yang lainnya, agar dapat dia memahami cara berfikirnya, cara dia mengeluarkan hukum menurut syarat dan keadaan tertentu. Adakah ini telah kita lakukan? Bagaimana mereka melakukannya?

Ia berlaku kerana mereka merasakan yang diri mereka adalah pelajar, ego mereka telah ditinggalkan jauh. Sebaliknya yang berlaku pada zaman ini, kerana ego, saling merasakan diri lebih baik dari yang lainnya. Hingga dengan mudahnya menggelar seseorang itu dengan gelaran yang tidak sepatutnya hanya kerana berbeza ayatnya, walhal boleh jadi asas pandangannya adalah sama. Sedangkan jika seseorang merendahkan dirinya kerana Allah, nescaya akan ditinggikan kedudukannya disisi Allah.

Carilah guru, hormati ilmunya, moga Allah berkati ilmu kita. Usahakan untuk banyak guru sepertimana ulama dahulu, sentiasa mencari guru agar dapat menambah ilmu. Mencari ilmu itu boleh juga dengan membaca. Jangan taksub atas penjelasan semasa sesuatu hukum diberi, kerana biasanya ada syarat atau keadaan tertentu mengiringi hukum tersebut. Fahami cara fikirnya, mudah-mudahan bertambah ilmu dan akhlak kita.

Bagaimana ingin mencapainya? Letaklah minat dalam perkara ini. Usahalah untuk menjadi pakar dalam apa yang kita minati. Semoga apa yang kita minati itu nanti, dapat menjadi bekal akhirat kita. Bukan semata-mata beroleh manfaat di dunia sahaja, bahkan minat kita itu menjadi asbab bertambahnya amalan kita untuk akhirat kita. Sehingga apa yang kita minati menjadi asbab  kesenangan buat semua.

Inilah sebabnya kenapa ulama terdahulu dapat menghasilkan begitu banyak kitab dan dalam banyak bidang. Usahakan untuk menjadi pakar dalam 1 bidang dahulu, kemudiannya tambah sedikit demi sedikit kepakaran dalam bidang yang lain. Mudah-mudahan ada antara kita yang akan meletakkan anak-anak yang cerdas dan rajin dalam bidang agama, agar bidang agama ini maju kerana kualiti pemegang ilmunya. Sepertimana ulama besar dahulu, biasanya mereka adalah pelajar yang cerdas dan rajin. Mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan. Jika inginkan dunia, carilah ilmu. Jika inginkan akhirat, carilah ilmu. Jika inginkan kedua-duanya, carilah ilmu.



No comments:

Post a Comment

BAHASA MELAMBANGKAN PERIBADI