Pages

Friday, June 14, 2013

KELALAIAN

Kebelakangan ini, rasa seperti jauh tenggelam dalam nikmat cinta dunia, hampir-hampir lemas, lalu terdampar ke pantai, berusaha menuju ke arah cahaya. Cahaya keindahan cinta Ilahi.

Begitu takut jika hati ini telah dipenuhi oleh cinta dunia sehingga tidak lagi rasa takut terhadap Allah s.w.t. dan tidak rasa bersalah pun apabila meninggalkan segala suruhanNYA. Sebagai contoh, tidak lagi merasa takut apabila tidak bersolat. Ya Allah, janganlah kau penuhkan hati kami dengan kecintaan kepada nikmat dunia, sehingga terhalang dari melihat nikmat yang lebih kekal buat selamanya. Berikan kepada kami, ketenangan dalam hidup ini.

Ketenangan dicapai apabila semakin dekat kita dengan cintaNYA. Dan dalam usaha untuk dekat dengan cinta dan redhaNYA, pasti manusia akan diuji, sedangkan kekasihNYA, Muhammad s.a.w. juga diuji dengan ujian yang bukan sedikit. Ini kan pula kita manusia biasa, yang tidak dapat lari dari masalah, salah dan silap.

Ya Allah, janganlah hati hambaMU ini dilalaikan sehingga terasa kesunyian lebih dekat dengan hati kami, dari kecintaan kepadaMU. Ambil contoh, hati kita akan merasa sunyi bila tiada teman lelaki atau teman wanita yang istimewa, sehingga kita terikut-ikut dengan cara yang lebih banyak membawa keburukan dari kebaikan bila tidak dipagari dengan ilmu, iman dan takut pada Allah. Sehingga berlakulah banyak perkara yang tidak sepatutnya berlaku pada remaja islam.

Oleh kerana itu, mereka yang terdahulu daripada kita telah menghabiskan masa mereka untuk menyumbang sesuatu buat kebaikan umat. Sebagai contoh, masa mereka digunakan untuk menghasilkan karya yang bermanfaat buat semua.

Ya Allah, Tuhan yang mengubah-ubahkan hati, ubahlah hati-hati kami untuk mentaatiMU. Ya Allah, janganlah dipesongkan hati-hati kami kepada kesesatan sesudah engkau memberi petunjuk kepada kami.  

Siapalah diri ini, tanpa Tuhan. Tuhan tidak memerlukan kita, tetapi kita yang memerlukan Tuhan. Sepertimana, Allah menggunakan burung-burung untuk mempertahankan Kaabah dari serangan tentera bergajah abrahah di kala penjaga Makkah berserah urusan mempertahankan Kaabah kepada Tuhan. Bila kita dalam kesusahan, kita mencari tempat mengadu, Allah sebaik-baik tempat mengadu.

 Apa yang perlu dilakukan adalah, kita kembali kepada panduan yang ditetapkan oleh pencipta manusia. Insyallah kekayaan hati dan kecintaan kepadaNYA akan memenuhi hati ini. Kesannya kita akan bersungguh dalam setiap tanggungjawab yang diberi, jika seorang suami atau isteri, akan menjadi seorang suami dan isteri yang terbaik. Sebagai anak, maka akan terhasillah seorang anak yang terbaik, jika seorang pekerja, akan bekerja dengan penuh tanggungjawab.

Ya Allah, sentiasa dalam (keadaan) ingat kami, kami cuba untuk mentaati perintahMU, Ya Allah semoga dalam lalai dan ketidaksedaran kami, kau pimpinlah hambaMu ini ke jalan yang Kau redhai. 



No comments:

Post a Comment

BAHASA MELAMBANGKAN PERIBADI