Pages

Tuesday, July 30, 2013

PENGALAMAN SEKOLAH MENENGAH

Teringat waktu mendaftarkan diri untuk memulakan kehidupan selaku pelajar tingkatan 1, membawa diri dan sedikit bekalan yang ibu telah sediakan. Ibu tidak dapat menghantar anak lelaki sulung ini, kerana ibu keluar bekerja. Ya Allah, kau rahmatilah dan peliharalah kedua ibu-bapa kami Ya Allah.

Ya Allah, kepada siapalah hambaMU ini ingin mengadu kelemahan diri ini. Bukannya biasa dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Penggawa Barat, Pontian, Johor. Cuba untuk senyum, memujuk hati ini. Insyallah, semuanya akan dipermudahkan. Alhamdulillah, walaupun tanpa ibu disisi pada masa itu, segalanya diselesaikan tanpa sebarang masalah. Ustazah yang mengajar saya mengaji menghulurkan bantuan yang diperlukan. Kesyukuran di panjatkan ke hadrat Ilahi.

Sehingga apabila melihat semula masa lalu, terasa seperti Allah Yang Maha Kuasa telah mengaturkan kehidupan ini bersesuaian dengan diri. Semuanya tersusun cantik. Terima kasih Ya Allah. Di sini, banyak belajar tentang penggantungan diri pada Yang Maha Pencipta, juga kesan sahabat pada diri ini. Bagaimana keadaan diri apabila bersahabat dengan sahabat yang baik dan bagaimana pula keadaan diri apabila bersahabat dengan sahabat yang kurang baik. Sahabat yang baik, insyallah akan membantu kehidupan kita baik dari segi akademik dan cara hidup yang sangat membantu dalam menempuh kehidupan sebagai pelajar dari tingkatan 1 hinggalah tingkatan 5. Sahabat yang kurang baik mempengaruhi akhlak dan kesannya pelajaran juga turut dipengaruhi.

Kalau di sekolah rendah dulu, boleh juga menempatkan diri antara 3 pelajar terbaik dalam sekolah. Sekarang ini, semua pelajar terbaik daerah pontian, berada di sekolah ini. Sebelum MRSM Pontian dibuka, sekolah inilah antara sekolah terbaik dalam daerah pontian. Batch pertama senior MRSM Pontian adalah junior-junior saya. Terselit sedikit rasa bangga melihat adik-adik junior dapat meneruskan pelajaran mereka di MRSM Pontian. Banyak cabaran sebenarnya untuk menempatkan diri sebagai pelajar terbaik. Apatah lagi untuk menempatkan diri sebagai umat Muhammad s.a.w yang terbaik. Lebih-lebih lagi usaha perlu ditingkatkan, terutamanya usaha membentuk hawa nafsu kita untuk mengikuti panduan yang telah ditetapkan oleh agama Islam.

Pembahagian masa perlu dilakukan dengan baik. Adanya waktu preparation dimana pelajar dikehendaki turun ke bilik belajar yang ditetapkan, sedangkan kalau di sekolah rendah dahulu, segala latihan dan bahan ulangkaji disediakan oleh guru. Cuma perlukan buku rujukan & buku soalan tahun lepas untuk rujukan dan latihan tambahan. Subhanallah, banyaknya kena belajar. Perlu belajar mengurus diri sendiri, belajar melibatkan diri dengan persatuan dan kelab. Belajar menguruskan aktiviti orientasi pelajar junior, belajar memegang tanggungjawab, menjadi AJK asrama.

Adakalanya mengalami saat-saat seperti tiada kekuatan untuk meneruskan langkah, kerana belum terbiasa dengan suasana baru yang mencabar ini. Semuanya ini menjadi pengalaman yang berharga buat diri ini. Pada DIA, tempat mengadu kelemahan diri. Disaat-saat seperti ini, selalu pergi surau awal, mengisi masa dengan bacaan quran dan doa, menyatakan isi hati pada Allah, Maha Pencipta. Lapang dada ini, terima kasih Ya Allah. Tiadalah tempat mengadu yang terbaik, melainkan bermunajat kepada Allah, mengadukan kelemahan diri.

Ada sahaja aktiviti yang warden jalankan untuk memastikan akhlak pelajar asrama yang semuanya pelajar muslim, agar menjadi mukmin yang lebih baik. Antara pengisian, solat berjemaah, yasin, bacaan quran, solat hajat, gotong-royong asrama, latihan bacaan khutbah dilakukan pelajar lelaki yang telah ditetapkan jadual dan disediakan teksnya oleh warden. Setiap aktiviti yang dirancang warden dan guru mempunyai tujuan tertentu. Sudah tentulah setiap yang diperintahkan oleh Allah, pencipta kepada manusia ada tujuannya. Ada kebaikan yang tersirat dalam setiap suruhan dan laranganNYA.

Setiap perintahNYA, adalah untuk kebaikan manusia. Sebagai contoh, perintah meninggalkan perbuatan yang boleh memudaratkan diri dan orang lain, antaranya adalah merokok. Asap rokok bukan sahaja memudaratkan perokok itu sendiri, malah orang lain terlibat sama menanggung kemudaratannya. Sesungguhnya kita telah melakukan kerosakan tanpa kita sedari.

Agama Islam itu indah, cuma akhlak penganutnya masih belum mencapai tahap akhlak islam yang sebenar, kerana itu proses mendidik diri adalah proses yang berterusan. Sehingga bila di sekolah, ada sahaja nasihat dari guru, warden dan senior mengingatkan pelajar tentang tanggungjawab masing-masing. Tanggungjawab sebagai pelajar, tanggungjawab sebagai anak, tanggungjawab sebagai pemimpin kumpulan kecil pelajar. Agama itu adalah ingat-mengingati. Manusia adakalanya terlupa, di sinilah ingat-mengingat berfungsi menyedarkan manusia tentang tanggungjawabnya sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini.

KepadaMU Ya Allah, kami memohon kekuatan untuk menjalankan tugas sebagai hambaMU dan khalifahMU. Hadirkanlah keikhlasan dalam hati kami dalam menunaikan kewajipan kami sebagai hambaMu dan khalifah di muka bumiMu Ya Allah.

Apabila kesilapan dilakukan, teguran diberi agar kesilapan yang sama tidak dilakukan berulang kali. Ini kerana, sekiranya kesilapan yang sama dilakukan berulang kali, ditakuti akan menjadi sebahagian dari sifat diri. Ya Allah, kau bimbinglah diri ini, agar menjadi hambaMu yang berakhlak dengan akhlak Al-Quran. Ambil contoh, seorang yang telah terbiasa merokok, dia tidak akan merasa bahawa merokok itu satu kerugian.

Walaupun ada kalanya, kesilapan dilakukan oleh hambaMu yang kerdil ini, ku temui kebaikan dan pengajaran yang baik buat diri ini dalam setiap apa yang kau tentukan. Ku bersyukur ya Allah, atas setiap nikmat dan ketentuan yang kau telah kurniakan buat diri ini. Adakalanya apa yang berlaku pada diri kita, tidak kita sukai pada masa berkenaan kerana kita menginginkan perkara lain yang berlaku. Akan sampai masanya, kita tersedar apa yang Allah tetapkan adalah yang terbaik buat kita. Bersangka baiklah kepada Allah. Jauhkan diri dari bersangka buruk.

Terima kasih ya Allah, kerana dihadirkan guru dan rakan sebagai pembimbing kami. Buat semua guru-guru dan sahabat-sahabat di sekolah lama dahulu, kenangan bersama kalian, masih terpahat dalam ingatan. Ya Allah, kau berikanlah kepada mereka Ya Allah, kesembuhan dan kesihatan yang sempurna andai Kau uji mereka dengan kesakitan dan penyakit. Kau hadirkan dalam hidup mereka kebahagiaan dan ketenangan.

3 comments:

  1. Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah ada diantara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain.

    Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah.

    Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang.

    [ Surah Al-Hujurat : Ayat 12 ]

    ReplyDelete
  2. keren nih kisahnya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Segala puji selayaknya hanya bagiNYA. Walau bagaimanapun, terima kasih atas komennya, masih belajar-belajar mau menulis.

      Delete

BAHASA MELAMBANGKAN PERIBADI