Pages

Sunday, February 24, 2013

SAHABAT

Begitu indah hidup jika mempunyai sahabat
seperti sahabat r.a, 
akhlak mereka melambangkan akhlak 
antara manusia terbaik,
menjadi pilihan untuk hidup dan 
bersahabat dengan kekasihNYA,
muhammad s.a.w ...

Bersahabatlah dengan orang yang jika kita berbuat baik kepadanya, dia akan membalas jasamu. Jika engkau berbuat dosa, dia akan menghalangmu. Jika engkau berdiam, dia akan menegurmu. Jika engkau mengalami musibah, dia akan menolongmu. Jika kalian bertengkar, dialah yang akan mengalah. Saling melengkapi dan melindungi. Alangkah indah jika kita dapat menemukan dan menjadi sahabat seperti ini.

Walau bagaimanapun, rasa bersyukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi, kerana dengan kasih sayangNYA telah memberikan kepada kita sahabat yang baik. Sahabat yang membantu kita untuk dekat denganNYA. Sebagai contoh, dengan setiap perbuatan mereka, kita akan tersedar yang kita perlu lebih dekat denganNYA.

Kita mudah terpengaruh dengan suasana sehingga bilamana kita sudah terbiasa mengikut kawan kita melakukan sesuatu yang kurang elok, kita tidak merasa canggung untuk melakukannya lagi. Oleh kerana itu disarankan untuk memilih sahabat yang baik, menjadi sahabat yang baik dan membentuk sahabat disekeliling kita untuk menjadi sahabat yang baik. Mudah-mudahan dengan suasana yang baik itu lebih mendekatkan kita denganNYA.

Apa lagi ya, ciri-ciri sahabat yang baik. Sahabat yang baik adalah seorang yang berilmu dan bijaksana. Insyallah terselamat kita dalam ketaatan kepada Allah jika mempunyai sahabat yang sentiasa tenang dan bijak dalam menasihatkan kita, terselamat juga kita daripada kejahilannya. Tidaklah kita melakukan sesuatu tindakan melainkan, ia adalah keputusan yang bijak hasil perbincangan dengan sahabat kita.


Sahabat yang baik, boleh menerima kekurangan dan kelebihan sahabat mereka apa adanya. Cuba menegur kekurangan, agar dapat kita menjadi manusia yang lebih baik, walaupun adakalanya kita terasa dengan kata-kata dan perbuatan mereka. Ampunkan dosa mereka dan kami Ya Allah. Sedarlah saudara-saudariku, tiada jalan mudah untuk mencapai kesenangan hidup di sana kelak, dimana usaha ke arah itu perlu dilakukan di sini. Ya Allah, kekalkan kami dalam ketaatan kepadaMu dalam apa jua keadaan kami Ya Allah.

Sahabat yang berilmu juga biasanya akan berakhlak dengan akhlak yang baik. Sahabat tadi dengan ilmu yang ada, mempengaruhi kita ke arah yang lebih baik, insyallah. Mudah untuk kita berurusan dengan sahabat seperti ini, kerana percakapan mereka adalah percakapan yang benar.

Mereka juga membantu, dengan apa yang ada pada diri mereka. Begitu banyak contoh yang ditunjukkan oleh sahabat r.a, antaranya orang ansar sanggup untuk memberikan sebahagian daripada harta mereka kepada orang muhajirin dek kerana orang muhajirin telah meninggalkan harta mereka di Mekah. Tiadalah harta dunia memberi bekas dalam hati mereka, segala yang ada semuanya digunakan untuk kebaikan di jalan Allah.

Disampaikan kepada nabi s.a.w perbuatan seorang sahabat yang sanggup menjamu sahabat yang menjadi tetamu baginda, walau keluarga sahabat berkenaan juga hanya mempunyai sedikit makanan yang mencukupi untuk makanan seisi keluarga tanpa ada lebihan. Nabi s.a.w menyampaikan rasa gembira baginda kepada sahabat berkenaan atas perbuatannya.

Sahabat yang baik juga tidak bersangka-sangka, tidak mencari-cari keburukan saudaranya dan menutup keburukan saudaranya. Moga kita menjadi sahabat yang baik buat saudara islam kita. Terima kasih Ya Allah, kerana memberikan kepada kami sahabat yang baik buat menemani kami dalam kehidupan ini. Sahabat yang mendoakan kebaikan buat kami.

Ya Allah, jadikanlah kami sebahagian daripada mereka yang kau berikan naungan dimana tiada perlindungan selain golongan yang KAU berikan perlindungan, golongan mereka yang berkasih-sayang keranaMU, mereka yang bertemu dan berpisah untuk mencapai redhaMU ...



1 comment:

  1. Nilai seorang sahabat yang baik, mampu membawa kita ke SyurgaNya... Subhanallah.

    ReplyDelete

BAHASA MELAMBANGKAN PERIBADI