Pages

Thursday, January 3, 2013

KENANGAN WAKTU KECIL

SEPERTI MASIH TERINGAT, SEWAKTU KECIL DULU. SEORANG BUDAK KECIL DIPIMPIN TANGANNYA OLEH NENEK UNTUK MENGUNTING RAMBUT, KEMUDIAN DIBELIKAN MAKANAN KESUKAANNYA. WALAUPUN TIDAK BANYAK, KERANA ITU SAHAJA KEMAMPUAN NENEK. SUNGGUH TERASA SYUKUR YANG AMAT SANGAT, DIKURNIAKAN ORANG YANG MENYAYANGI DIRI INI.

Sungguhpun jika kita merasa kurang disayangi, jika dikenang kembali, nasib kita masih jauh lebih baik berbanding saudara kita yang berada di bumi yang diuji oleh Allah, seperti Palestin. Kesenangan juga suatu bentuk ujian, mudah-mudahan itu menyebabkan kita semakin dekat denganNYA. 

Nikmat yang diberi kepada kita begitu banyak, sehingga tidak terbilang oleh jari. Kadang-kadang kita terleka dengan apa yang kita inginkan, sehingga apa yang kita ada tidak dihargai sebaiknya. Sehinggalah ia berlalu. 

Teringat kenangan lalu, seperti melihat melalui terowong masa, kehidupan kita masa kecil. Semua orang pernah merasa nikmat zaman kanak-kanak. Begitulah agaknya amalan kita akan dipaparkan semuanya di hadapan Allah s.a.w untuk diadili suatu masa kelak. 

Masih dalam ingatan, ketika dahulu rasa macam nak menangis sebab lama sangat kena mengulang baca al-quran secara sendiri sebelum menghadap guru untuk disemak bacaan. Seorang demi seorang. Bila fikir kembali, sungguh bertuah kerana diberi nikmat untuk belajar membaca al-quran di awal usia kanak-kanak. Tidak lama pun, tetapi bagi diri kanak-kanak kampung macam saya, duduk berlama-lama depan guru dan melakukan perbuatan yang sama berulang kali adalah membosankan jika dibandingkan dengan bermain bersama kawan-kawan.  

Begitu besar jasa ibu dan nenekku, menghantarku belajar mengaji quran ke rumah jiran. Seorang ustazah sekolah agama dan kadang-kadang ibu kepada ustazah yang biasa kami pangil nenek. Ibu berpesan kepada guru, rotanlah anak saya, untuk mengajar dan bukan menyakiti. Pernah juga dirotan kerana leka bermain dengan kawan sewaktu mengaji. Sekali terkena, taubat tak nak lagi. Menjadi kebiasaan kami juga, untuk mencium tangan nenek sebelum pulang. Tanda hormat kami pada guru. Berkat hormat dan takutkan rotan guru, alhamdulillah khatam saya dan kawan-kawan sekampung belajar mengaji al-quran dengan guru dan nenek. 

Walaupun kami ini, anak-anak yang suka bermain, masih juga selalunya dihidangkan minum petang sesudah habis mengaji. Suka kerana dapat belajar, sempat juga mengisi perut sebelum pulang ke rumah. Adakalanya kami mandi di sungai hujung kampung, terjun dari jambatan. Sehingga kecut tangan kerana lamanya bermain dalam air. Balik rumah, nenekku menegur kerana baju dan seluar habis basah, kotor dan berbau. 

Waktu keluar ke pekan, waktu paling seronok kerana dapat menggunting rambut, beli makanan kegemaran dan air kotak, nenek yang belanja. Juga menemani nenek berbelanja barang dapur dan barang-barang keperluan harian. Sungguh terlihat mereka berusaha semampu mereka untuk memberikan apa yang mereka ada untuk menggembirakan kita. Apakah hari ini, kita telah menggunakan sepenuh kemampuan kita untuk membantu mereka. Kita begitu sibuk dengan kehidupan sendiri, sehingga terlupa untuk menjenguk orang tua kita, terlupa untuk membantu mereka di kala mereka semakin dimamah usia. 

Pernahkah kita terfikir, waktu kita kecil, adakah kita boleh buat semuanya secara sendiri. Kita memerlukan bantuan dan perhatian daripada orang tua kita, sehingga pernah kerja rumah lukisan saya, saya tunjukkan terlebih dahulu kepada ibu, dan bertanya pendapatnya. "Cantikkah ibu, lukisan abang?". Ibu pun tersenyum, dan berkata "Cantik lukisan abang". Walaupun bila fikir balik, biasa-biasa je lukisan itu. Kerana perkataan ibu, hati ini berbunga senang. Adakah kita telah mengembirakan hati ibu dan ayah kala ini, sesuai dengan kemampuan kita. 

Mengingatkan diri ini terutamanya dan saudara saudariku, yang kucintai sama seperti ku mencintai diriku sendiri, hargailah orang tua kita semampu kita selagi mereka masih bernafas. Teruskan mengirim bekal pahala amalan dan doa, berbakti kepada kawan-kawan dan saudara-saudara mereka, jika mereka telah tiada. 

Ya Allah, ampunilah kami, kedua ibu bapa kami, rahmatilah mereka sebagaimana mereka mendidik kami sejak kecil lagi.
 

4 comments:

  1. Menghargai sesuatu yang melakarkan pengalaman pada diri, mampu mendidik diri menjadi hamba padaNya.

    Mendoakan ibubapa mampu melahirkan jiwa dan roh seroang anak yang soleh /solehah. ~ moga Allah redha.. Insyaa Allah.

    :: Coretan Adam menggamit memori zaman kanak2. Subhanallah..^^

    ReplyDelete
    Replies
    1. Siapalah diri ini, tanpa PanduanNYA. Semua yang saya ada, milik DIA. Jadi, dicuba semampu boleh untuk menjadikan diri ini sebagai asbab hati2 manusia semakin dekat denganNYA, walaupun kadang-kadang, diri ini leka dengan kehidupan dunia, :) ...

      Delete
  2. Terima kasih atas komen dan dorongan sahabat-sahabat. Setiap yang diberikan, sungguh bermakna bagi diri ini. Rasa macam terpanggil untuk buat satu artikel, insyallah dalam post yang mendatang, akan diselitkan satu tajuk tentang sahabat. Moga Allah memberkati kamu, sahabatku, walau dimana kamu berada di atas muka bumi Allah ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. aamiin aamiin Ya Rabbal'aalamiin.
      Jazakallah khairon kathiro.

      :: Moga diberi nyawa utk terus menghayati coretan Adam yang seterusnya.. aamiin Ya Allah. :: :)

      Delete

BAHASA MELAMBANGKAN PERIBADI