Pages

Monday, September 24, 2012

SIHAT SEBELUM SAKIT

Baru mengalami keadaan kurang sihat, dan terfikir. Maha Suci Engkau YA ALLAH, yang telah memberikan nikmat kesihatan kepada kami. 

Sebelum ini kita mampu untuk berbuat sesuatu yang kita inginkan, tetapi oleh kerana kurang sihat, ini telah membataskan keupayaan kita untuk melakukannya. Sedarkah kita, semua yang kita miliki ini dipinjamkan, sehingga jika ditarik buat seketika sahaja pun nikmat itu, kita akan merasa gundah. Terasa kekerdilan diri.

Tetapi berapa banyakkah nikmat yang kita terima ini, menjadi kebaikan juga untuk adik-beradik kita dan manusia lainnya. Sebagai contoh, berapa ramai manusia hari ini dengan kesihatan yang ada dapat berlaku baik dengan jirannya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam manusia sihat yang baik terhadap jirannya dan sesama manusia, dan mohon dijauhkan dari menjadi jiran dan manusia yang buruk akhlaknya.

Itu baru disebutkan 1 nikmat, iaitu kesihatan. Bagaimana pula dengan yang lain-lainnya. Sebagai contoh, nikmat kesenangan, nikmat kelapangan, nikmat masa muda dan nikmat kehidupan. Berapa ramaikah antara kita yang mensyukuri nikmat ini. Sehingga kita berusaha bersungguh-sungguh untuk kesejahteraan bersama. 

Kadang-kadang merasa kasihan, melihat insan yang malang dan tidak dibantu malah dizalimi. Sebagai contoh, ada yang mengalami kemalangan, tidak dibantu malah diambil kesempatan ke atas mangsa kemalangan tadi sehingga ada hak milik peribadi mangsa telah diambil dan dilarikan kerana kelemahan mangsa pada masa berkenaan. Sebagai manusia, mudah-mudahan kita dapat menggunakan akal kita yang waras dalam bertindak.

Dalam kesibukan kita, mohon berfikir dengan akal yang waras, bukan menggunakan tangan dan kaki sahaja dalam bertindak. Kepala kita diletakkan di atas daripada dada, perut dan kemaluan kita, sesuai dengan kejadian manusia sebagai makhluk terbaik ciptaan ALLAH, berbeza dengan binatang seperti kambing yang kepala, dada, perut dan kemaluannya berada pada 1 garisan horizontal (garisan lurus mendatar). Agar kepala (akal) itu dapat didahulukan kepentingan dan penggunaannya atas setiap tindakan yang dilakukan.

Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama: masa sihat sebelum sakit. Kedua: masa senang sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga: masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat: masa muda sebelum datang masa tua. Kelima: masa hidup sebelum tiba masa mati. Mudah-mudahan setiap nikmat yang kita peroleh menjadikan kita insan yang lebih baik dan menjadi sumber kebaikan pula untuk seluruh manusia.

Gunakan setiap nikmat yang ada dengan baik, sehingga menjadi sebab kenikmatan yang lain hadir dalam kehidupan kita. Sebagai contoh, gunakanlah nikmat kesihatan sebaiknya sehingga kita dapat merasai nikmat kebahagian hidup. Mohon dijauhkan daripada menggunakan nikmat yang kita ada untuk menyakiti saudara seislam dan manusia lainnya.

YA ALLAH, jadikan kami hambaMU yang berbuat ketaatan kepadaMU dalam setiap hembusan nafas kami. 

1 comment:

  1. Subhanallah.. sgt suka dgn artikel ini. Sgt bermanfaat dn mmberi peringatan pada diri. Teringat pada nukilan sy diblog - 5 Sesudah 5 ~ sy sampaikn secara ringkas, tapi Adam menulisnya dgn baik sekali. Moga Allah redha dn bermanfaat utk semua... Insyaallah. ~ Jadilah Hamba Allah Yg Berfikir ~

    ReplyDelete

BAHASA MELAMBANGKAN PERIBADI