Pages

Sunday, May 18, 2014

HARAP DAN TAKUT

Seorang pekerja akan meletakkan pengharapan pada majikannya agar disempurnakan pembayaran gajinya dan dijaga kebajikannya setelah melaksanakan kerjanya. Lain pula hakikatnya dengan seorang hamba, hamba tidak diberikan gaji tetapi disediakan keperluannya seperti makan, pakaian, tempat tinggal dan segala arahan yang diberikan oleh tuannya dilaksanakan.

Sedarkah kita, bahawasanya kita ini adalah hamba Allah? Tetapi Maha Pemurah Allah pada hambanya, sehinggakan jika kita berbuat apa yang disuruhnya dan meninggalkan segala larangannya, kita akan dikurniakan hadiah berupa kenikmatan syurga dan segala keinginan kita dan kekal kita di dalamnya buat selama-lamanya di akhirat kelak.

Begitulah sifat Maha Penyayangnya Allah pada hambaNYA yang beriman semasa hidupnya dan matinya. Oleh itu, menjadi kewajipan manusia untuk meletakkan pengharapan hanya pada Allah, penciptanya. Allah memberikan kepada manusia, pinjaman pancaindera yang dengannya dapat melihat, menghidu, merasa, memegang dan semua nikmat yang lainnya. Jika ingin dituliskan semua nikmat yang diberi oleh Allah kepada hambanya, habis seluruh lautan digunakan sebagai dakwat, pasti masih takkan mampu untuk dituliskan kesemua nikmat kurniaanNYA.

Begitulah juga sepatutnya kita meletakkan ketakutan kita hanya pada Allah, takut-takut Allah murka dengan kita sehingga diabaikannya kita dan jauh kita dari rahmatNYA. Sedangkan hanya dengan rahmat Allah sahajalah kita akan beroleh keselamatan di dunia dan akhirat. Sepertimana seorang hamba yang takut jika tuannya marah, dia tidak akan diberikan makan dan tempat tinggal. Adakah kita bersikap seperti yang sepatutnya? Adakah kita telah meletakkan pengharapan dan ketakutan kita pada Allah? Maka selayaknya bagi kita untuk tunduk kepada perintahNYA dan meninggalkan perkara yang dilarangNYA.

Jangan bersikap sombong wahai saudara saudariku. Contoh telah ditunjukkan di dalam Al Quran yang terpelihara. Hamba pilihanNYA, Nabi Yusuf  'Alaihissallam berdoa kepada Allah sehingga dirakamkan dalam Al Quran, Surah Yusuf ayat 101 yang tafsirnya berbunyi "Ya Tuhanku, sesungguhnya engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dunia dan telah mengajarkanku sebahagian takwil mimpi. Ya Tuhanku, ENGKAUlah pelindungku di dunia dan akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan masukkanlah aku dalam kalangan orang yang soleh". Apabila seorang nabi pun berdoa, meletakkan pengharapan dan ketakutannya kepada Allah, apakah selayaknya kita manusia biasa ini merasa sombong lalu berbuat kejahatan di muka bumi Allah ini.

Sesiapa yang bermaksiat kerana nafsu syahwat, maka masih ada harapan baginya untuk bertaubat. Namun sesiapa yang bermaksiat kerana kesombongan, maka ia harus merasa bimbang. Nabi Adam 'Alaihissallam dikeluarkan oleh Allah dari syurga kerana telah melanggar arahannya yang telah mengikut hawa nafsunya, maka Allah ampunkan dosanya. Iblis pula bermaksiat kerana sombong tentang kejadian dirinya, lalu Allah melaknatnya. Firaun merasa sombong kerana menjadi pemerintah sebuah kerajaan lalu ingatan dari Nabi Musa 'Alaihissallam langsung tidak diendahkan. Kerananya, ditenggelamkan firaun dan tenteranya di lautan. Mudah-mudahan Allah jauhkan kita dari berbuat maksiat kepadaNYA ...

Oleh kerana itu, saya meletakkan puji-pujian selayaknya hanya bagi Allah. Dengan rahmatNYA, mudah-mudahan dapat kita gunakan apa yang ada pada diri sendiri untuk kebaikan manusia lainnya, Insyallah. Segala kekurangan saya, tidak saya nyatakan dengan jelas bertujuan menutup aib diri, mudah-mudahan Allah menutup aib saya di akhirat kelak. Saya tuliskan juga segala yang saya lakukan, yang baiknya mudah-mudahan menjadi dorongan dan yang buruknya mudah-mudahan menjadi sempadan agar tidak dilakukan.


No comments:

Post a Comment

BAHASA MELAMBANGKAN PERIBADI