Pages

Thursday, May 22, 2014

DOA KU

Ya Allah,
kurniakanlah kami lisan yang lembut basah
mengingati dan menyebut namaMU,
hati yang mensyukuri nikmatMU,
serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintahMU,

Ya Allah,
kurniakanlah kami iman yang sempurna,
hati yang khusyuk,
ilmu yang bermanfaat,
keyakinan yang mantap,

Ya Allah,
kurniakanlah kami cara hidup yang unggul,
selamat dari segala bahaya dan petaka,
kami mohon Ya Allah kecukupan
yang tidak sampai kami terpaksa meminta pada orang lain,

berikanlah kami Ya Allah iman yang sebenarnya,
sehingga kami tidak lagi gentar
atau mengharapkan orang lain selain ENGKAU,
kembangkanlah rahmatMU kepada kami, keluarga kami,
anak-anak kami dan sesiapa sahaja yang bersama kami.

Jangan Ya Allah KAU biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri,
walau kadar sekelip mata
atau kadar masa yang lebih mudah dan cepat memperkenankan
pinta perkenankanlah Ya Allah

Ya Allah pemilik kekuasaan kerajaan alam semesta,
engkau memberi kuasa kepada sesiapa sahaja yang engkau kehendaki
engkau mengambil kekuasaan dari sesiapa yang engkau mahu,
engkau memuliakan dan menghinakan siapa yang ENGKAU kehendaki
di tanganMU Ya Allah segala kebaikan dan kekayaan
sesungguhnya ENGKAU berkuasa untuk berbuat apa sahaja terhadap apa sahaja

ENGKAU menabirkan siang dengan malam,
dan malam pula ENGKAU terbitkan suatu yang hidup dari suatu yang mati,
sebagaimana ENGKAU melahirkan yang mati dari yang hidup,
ENGKAU memberi rezeki tanpa menghitung
kepada siapa sahaja yang ENGKAU kehendaki

Ya Allah,
menjelanglah kini malam ciptaanMU,
beredarlah sudah siangMU,
inilah keluhan suara dan pinta dari para du'ahMU,
Ya Allah,
ampunkanlah dosa kami

Ya Allah,
ENGKAU mengetahui bahawa hati-hati ini
telah berkumpul kerana mengasihiMU,
bertemu untuk mematuhi perintahMU,
bersatu memikul beban dakwahMU,
hati-hati ini telah mengikat janji setia
untuk menegakkan syariatMU,
maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya
kekalkan kemesraan antara hati-hati ini atas jalanMU
penuhkan hati ini dengan cahaya RabbaniMU
yang tidak kunjung malap
lapangkan hati ini dengan limpahan iman
dan keindahan tawakkal kepadaMU
hidup suburkan hati ini dengan ma'rifatMU
Jika ENGKAU mentakdirkan mati,
maka matikanlah pemilik hati-hati ini
sebaga para syuhada' dalam perjuangan agamaMU

Ya Allah perkenankanlah permintaan ini.
Selawat dan salam ke atas junjungan kekasihMU Nabi Muhammad S.A.W,
keluarga dan sahabat baginda.

No comments:

Post a Comment

BAHASA MELAMBANGKAN PERIBADI